Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2018
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2018

GEORGE TOWN – Kerajaan yakin pelancaran program Food Bank Malaysia yang akan diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mampu meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan juga mengurangkan pembaziran makanan di kalangan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Program Food Bank Malaysia ini adalah antara usaha kerajaan untuk meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan juga mengurangkan pembaziran makanan di kalangan rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan Program Food Bank Malaysia yang akan diterajui oleh KPDNHEP ini adalah sangat bertepatan dengan fokus kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama sekali golongan kurang berkemampuan atau kumpulan B40

“Golongan ini perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi membolehkan mereka mendapat akses bekalan makanan kerana ianya sedikit sebanyak dapat menjimatkan wang perbelanjaan mereka ke atas kos pembelian makanan dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan boleh guna golongan tersebut untuk digunakan bagi perkara-perkara penting yang lain seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam ucapan perasmian program Food Bank Malaysia peringkat Kebangsaan di Kompleks Masyarakat Penyayang sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dr Mahathir berkata, inisiatif ini merupakan satu usaha sukarela yang tidak memerlukan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

“Inisiatif ini boleh dilaksanakan melalui komitmen tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan yang tinggi daripada pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan bagi bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani isu pembaziran makanan dan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, isu lebihan makanan ini bukan perkara yang asing bagi Malaysia, rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 15,000 tan lebihan makanan setiap hari, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,000 tan adalah lebihan makanan yang masih elok dan selamat dimakan.

“Sekiranya 3,000 tan makanan tersebut dapat diagihkan dengan optimum maka kuantiti ini boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada hampir 2 juta orang rakyat Malaysia. Makanan lebihan walaupun nampak remeh, tetapi ia mempunyai impak besar kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa melalui Program Food Bank Malaysia ini, lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan sasar dan rumah kebajikan yang berdaftar.

“Saya juga dimaklumkan, Program Food Bank Malaysia ini akan mensasarkan seramai 186,354 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan di seluruh negara untuk diagihkan lebihan makanan yang dikumpul,” katanya.

Bagi memastikan pengurusan lebihan makanan dan pelaksanaan Program Food Bank Malaysia dengan lebih sistematik dan teratur, Dr Mahathir berkata kerajaan telah bersetuju untuk melancarkan sebuah yayasan yang akan dikenali sebagai Yayasan Food Bank Malaysia.

“Yayasan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan pembaziran makanan di samping menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat di mana ia akan diterajui oleh pemegang-pemegang amanah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan komited dalam menjayakan agenda kerajaan ini,” katanya.

Beliau juga berharap dengan lengkapnya semua mekanisme operasi pelaksanaannya, Program Food Bank Malaysia dapat digerakkan dengan jayanya bagi membantu semua golongan yang memerlukan, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia bahkan juga di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk sekali lagi mempelawa semua pihak terutama badan-badan korporat, pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), mahupun individu untuk bersama-sama kerajaan dalam menjayakan Program Food Bank Malaysia,” katanya. – Bernama