Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan syarahan bertajuk " Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu" pada Syarahan Za'ba Pengajian Melayu 2018 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentuk Rencana Induk Port Dickson (PD) yang salah satunya menumpukan kepada kebersihan pantai di kawasan peranginan itu.

Sebagai ahli parlimen PD, beliau juga merumuskan masalah sistem kumbahan, kesesakan lalulintas dan projek terbengkalai dalam program yang sama.

“Rencana Induk PD ini adalah progrm pembangunan komprehensif yang mengadunkan pelan pembangunan secara holistik, mesra alam dan mampan.

“Kita akan meneliti dan mengkaji beberapa aspek antaranya menopang perniagaan kecil dan sederhana dalam menguasai teknologi digital, sistem kumbahan yang teratur dan mengurangkan kesesakan trafik sekitar PD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah Anwar juga telah berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun hari ini mengenai cadangan berkenaan.

Anwar yang kini Presiden PKR itu telah memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada September lalu dan kini sudah hampir tiga bulan menjadi ahli parlimen.- MalaysiaGazette