Muamalat itu adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya.

Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah SWT yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam.

Muamalat yang dimaksudkan ialah dalam bidang ekonomi yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat. Segala harta yang ada di alam ini samada di muka bumi, di laut atau di dasar adalah milik Allah SWT secara mutlak.

Manusia disuruh memiliki harta yang di sediakan oleh Allah SWT melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang di anugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah SWT dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.

Perkara penting dalam mencari keberkatan bermuamalat bukannya berapa banyak rezeki yang kita peroleh tetapi sebaliknya, ada atau tidak keberkatan di dalam rezeki itu. Rezeki melimpah-ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat.

Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya di dalamnya tidak terdapat unsur keberkatan. Di dalam Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan di dalamnya. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal.

Antaranya ialah menjauhi pekerjaan haram dan subahat. Setiap orang hendaklah taat kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa kerana dosa akan menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (riwayat at-Tirmizi).

Selain itu, dekatkanlah diri kepada Allah dengan ibadah tambahan seperti solat Dhuha dan solat Tahajud. Kita juga digalakkan untuk bekerja bersungguh-sungguh.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT senang melihat hamba-Nya bersusah payah (kelelahan) dalam mencari rezeki yang halal.” (riwayat Adailami)

Kita juga hendaklah sentiasa mengadu masalah rezeki hanya kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu.

Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat.” (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) Memperbanyakkan beristighfar.

Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa memperbanyak istighfar, Maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya.” (riwayat Imam Ahmad) Kita juga hendaklah sentiasa bersabar dan banyak membaca la hawla wa laa quwwata illa billah.

Diriwayatkan bahawa Salim, anak laki-laki Auf bin Malik al-Asyjaiy telah ditawan oleh orang musyrik.

Kemudian, Auf datang mengadu kesedihannya kepada Rasulullah.

Baginda SAW berkata: Bertakwalah kepada Allah, bersabarlah dan aku anjurkan agar kamu dan isterimu memperbanyak bacaan, La hawlah wa laa quwwata illa billah. Auf kembali ke rumahnya dan menyatakan suruhan Rasulullah SAW itu.

Keduanya, segera melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Akhirnya, anaknya berhasil meloloskan diri daripada musuh dan membawa ternakan kambingnya sebanyak 4,000 ekor di hadapan ayahnya. (Tafsir Qurthubi, surah al-Thalaq: 3) Sentiasa bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana Allah telah memberi rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perut kenyang. (riwayat Bukhari) Memperbanyakkan sedekah dan nafkahkan harta kepada yang berhak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Ada tiga hal yang aku bersumpah kepadanya dan aku akan menyampaikan suatu berita kepadamu, maka perhatikan benar-benar: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah dan tiadalah seseorang membuka pintu meminta-minta melainkan Allah akan membukakan kepadanya pintu kemiskinan.” (riwayat al-Tirmizi)

Sentiasa menyebarkan agama Allah dengan menegakkan syariat Islam.Firman Allah SWT bermaksud: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Syariat Islam akan tegak dengan adanya daulah Islam. Islam sebagai jalan kehidupan tidak tegak dalam masyarakat saat ini dengan tidak sebagai wadah. Sistem perekonomian di mana umat mencari rezeki pada saat ini merupakan sistem perekonomian yang tidak mendukung mereka untuk mendapatkan rezeki yang banyak, lancar dan berkat. Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya.

Tetapi itulah cara bagi kita untuk menolong diri kita sendiri. Marilah kita menolong agama Allah, agar rezeki kita banyak, lancar, halal dan berkat.

Firman Allah S.W.T : هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ ذَلُولا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya : Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya) (Surah Al-Mulk Ayat 15)

Dalam mencari harta kekayaan,umat Islam di kehendaki menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebaikan dan kebajikan untuk faedah bersama. Bagi memastikan kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh manusia dilaksanakan dengan baik dan mencapai keredhaan Allah s.w.t. Islam telah menggariskan beberapa peraturan bagi mencapai matlamat tersebut. – MalaysiaGazette