foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan bagi mata wang negara maju itu meningkat susulan laporan positif berkaitan rundingan perdagangan AS-China, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0740/0770 berbanding dolar AS daripada 4.0720/0770 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Penganalisis Pasaran Kanan, OANDA, Jeffrey Halley berkata Wall Street Journal melaporkan AS dan China hampir untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan itu.

“Pasaran mata wang juga memberi reaksi kepada dolar AS yang rendah semasa pembukaan pasaran,” katanya.

Peniaga lain berkata harga minyak mentah yang lebih baik telah mengurangkan kesan pengurangan permintaan terhadap mata wang tempatan.

Minyak mentah Brent, yang menjadi penanda aras antarabangsa, meningkat 0.63 peratus kepada US$65.70 setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS menokok 0.48 peratus kepada US$56.28 setong.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6417/6454 daripada 3.6383/6438 pada Jumaat minggu lepas dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0071/0104 daripada 3.0105/0146.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6203/6254 daripada 4.6258/6319 namun turun berbanding pound Britain kepada 5.3944/4000 daripada 5.3921/3000 sebelum ini. – MalaysiaGazette