Subadron Aziz

KUALA LUMPUR – “Menang Piala Malaysia dalam masa tiga tahun berturut-turut rasa satu benda yang luar biasa, rasa macam Malaysia ni kita yang punya.

Itulah gambaran perasaan bekas pemain Kuala Lumpur, Subardron Abdul Aziz yang menyifatkan trofi Piala Malaysia sebagai satu sentimen paling bernilai dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

Jelasnya, rasa tidak lengkap seandainya mereka yang bergelar pemain bola sepak tempatan jika tidak mengecapi kejuaraan Piala Malaysia.

Beliau bersyukur dapat mencatat sejarah apabila pernah menjulang trofi piala tertua di Asia Tenggara itu sebanyak tiga kali pada tahun 1987 hingga tahun 1989 bersama pasukan Kuala Lumpur.

“Karier dalam bola sepak tak lengkap kalau tak pernah pegang Piala Malaysia, ada pemain yang tak pernah dapat Piala Malaysia dan bukan senang nak pegang Piala Malaysia malah kalau tak menang piala ini, dia tak menjadi satu peringatan atau pun sejarah,” katanya.

Mengimbau kenangan lalu, beliau juga menyatakan bukan mudah untuk menjulang trofi Piala Malaysia malah beliau sanggup bermati-matian bagaikan seorang pahlawan bermain di dalam padang.

Pernah merasai kekalahan pada tahun 1985 dan tahun 1986, Subadron tidak rela menerima nasib yang sama pada tahun berikutnya apabila menanam tekad membantu pasukan menjulang trofi Piala Malaysia.

“Tahun 1985 kalah, tahun 1986 kita menang juarai liga tapi kalah dengan Pahang pada peringkat separuh akhir saya rasa sangat sedih bila kalah, jadi saya bertekad tak nak kalah lagi.

“Pada waktu itu, saya rasa saya dah senior, saya anggap ini pasukan saya, saya akan bawa segala-galanya apa yang saya ada untuk menang, malah jika dalam bola sepak ini bagi saya mati pun saya sangup,” jelasnya.

Menariknya, hampir menyikut jejak langkah Subardron adalah anaknya, Putera Sufrie Nizam Subardron yang kini aktif bergiat dalam dunia e-sukan.

Biarpun tidak berpeluh di atas padang, Putera telah menyertai kejohanan E-Piala Malaysia 2019 anjuran Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama penganjur sukan elektronik GamesBond Sdn. Bhd. sempena Piala Malaysia 2019 namun kalah peringkat suku akhir.

Subardron memberi sepenuhnya galakan kepada Putera, biar pun anaknya itu baru berumur 18 tahun tetapi sudah mampu bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam dunia sukan elektronik (e-sukan).

“Saya memang tak halang apa yang dia minat, saya sokong sepenuhnya dan sediakan peralatan yang terbaik buat Putera tapi mesti bersungguh-sungguh sehingga mengharumkan nama negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette