CAAM

KUALA LUMPUR – Operasi mengesan helikopter swasta yang hilang melalui jalan darat akan disambung esok pagi di Kampung Kenangan Bidor, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

CAAM yang memaklumkan perkembangan terkini pencarian itu berkata, helikopter Polis Diraja Malaysia telah selesai melakukan operasi udara pada jam 6.39 petang dan kembali ke Lapangan Terbang Subang pada jam 7.03 malam.

Manakala pencarian oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia sehingga jam 7.12 malam dan mendarat di pangkalan udara Butterworth 8 malam tadi.

Pusat Kawalan Trafik Udara CAAM di Ipoh pula meneruskan operasi setakat 8.30 malam.

CAAM berkata, pencarian di darat dilakukan oleh PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, ibu pejabat polis Ipoh dan Bidor terlibat dalam operasi ini manakala bagi bomba pula melibatkan Bidor dan Tapah.

Helikopter jenis Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik Heli Outpost Sdn Bhd. itu dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Subang ke Ipoh.

CAAM berkata, sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

Helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. – MalaysiaGazette